Monday, April 6, 2009

OTK III

Source : Berita Harian Online
Tarikh : 1 April 2009
Hari : Rabu
Tajuk : Operasi Tawan Kota III Jana Pemimpin Berkualiti



RASA kagum menyelinap diri apabila melihat beberapa pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) tanpa menghiraukan terik panas matahari dan peluh menyelubungi wajah, berdiri tegak di tengah-tengah Kota Melaka, berkhutbah dan berhujah mengenai topik yang langsung tidak menerima sambutan daripada orang ramai yang lalu lalang.

“Gila budak-budak ni,” getus hati ini. Selepas dua hari mengikuti perjalanan mereka, hati ini masih berasa kagum kerana jika disuruh buat kerja gila seperti itu sudah pasti tidak akan terdaya dilaksanakan.

Dari hari pertama di Kuala Lumpur melihat pelajar senior ‘mendera’ mereka, melihat mereka berkampung di Jalan Belamy, ‘dipaksa’ mencari sisa bahan buangan untuk dijual bagi mencari tambang untuk ke Melaka, dikerah mencari wang di Pudu Raya bagi mencukupi tambang, terpaksa menjalani urusan ‘gadaian harta’ bagi yang masih gagal memiliki wang secukupnya - terasa betapa kentalnya jiwa seseorang itu jika sanggup ‘didera’ begitu sekali.

Kumpulan pelajar yang tidak gentar menghadapi sebarang cabaran, melepasi rasa malu dan aib apabila perlu berhadapan dengan situasi tidak dijangka dan berfikiran kreatif untuk mencari modal untuk keperluan hidup ini adalah anak didik Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) cawangan UiTM.

Meneruskan warisan program Kursus Asas dan Lanjutan yang menetapkan matlamat untuk melahirkan pemimpin yang mampu berfikir dalam keadaan yang tertekan, berfikir di luar kotak dan kuat jati dirinya, program Operasi Tawan Kota 111 - ternyata berjaya dalam misi untuk menghasil barisan pelapis yang bersemangat tinggi.

Diketuai bekas Yang Dipertua GPMS UiTM ke-30, Muhamad Akmal Dahalan, dibantu YDP sekarang, Mohd Rauf Tumiran dan Ketua Penerangannya, Ahmad Thibri Mashri, yang juga pengarah program Operasi Tawan Kota III, pelajar UITM dari pelbagai fakulti yang sedang menyediakan diri untuk mewarisi kepemimpinan negara, dengan rela hati menerima arahan melaksana pelbagai tugasan yang memerlukan kesabaran dan kreativiti tinggi.

“Program kursus lanjutan GPMS UiTM ini adalah kursus yang dilaksanakan setiap tahun untuk memantapkan lagi peserta kursus asas GPMS UiTM. Ia adalah kesinambungan kepada Kursus Asas yang memfokuskan kepada pengenalan GPMS, perjuangan bangsa dan penyatuan anak-anak Melayu di UiTM khasnya.

“Semua peserta di sini telah melalui Kursus Asas di Gunung Ledang, awal tahun ini dan ramai antara mereka meneruskan perjuangan dan komitmen dengan menyertai Kursus Lanjutan ini,” kata Muhamad Akmal yang juga ketua fasilitator bagi program Operasi Tawan Kota III ini.

Kursus Lanjutan ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu Kursus Lanjutan Tawan Rimba dan Kursus Lanjutan Tawan Kota.

Peserta kursus ini perlu menempuhi segala cabaran dan menyelesaikan semua tugasan yang diberikan kepada mereka tidak kira di kota mahupun di rimba.

“Objektif dan matlamat program ini adalah untuk melahirkan pemimpin yang mampu berfikir dalam keadaan yang tertekan, berfikir di luar kotak dan kuat jati dirinya. Mereka juga dilatih untuk bertindak dan bergerak dalam satu kumpulan dan mampu untuk melaksanakan sebarang tugasan yang diberi tanpa banyak alasan dan penangguhan.

“Mereka yang telah dilatih dengan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, bertindak mengikut arahan, akan menjadi pelapis kepada gerakan memperkasakan anak Melayu dalam GPMS UiTM. Lebih penting, kumpulan ini akan menjadi tenaga penggerak dan juga fasilitator untuk aktiviti GPMS dalam dan luar kampus,” tambah Muhamad Akmal.

Menurutnya, Kursus Asas dan Lanjutan ini telah dimulakan sejak 1973 dan antara tokoh yang pernah menyertai program ini ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Zain Mohamad dan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Ibrahim Abu Syah.

Dalam modul Operasi Tawan Kota III, pelajar dipilih berdasarkan kata sepakat alumni GPMS UiTM. Seramai 37 pelajar UiTM dari pelbagai jurusan, menyertai program ini secara sukarela. Sepanjang kursus ini, mereka diberikan pelbagai tugasan mencabar yang menguji kekuatan dan ketahanan mental.

Jelasnya, ketahanan mereka diuji di tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Bandaraya bersejarah Kota Melaka. Antara lain, mereka akan diuji dengan ketahanan serta kreativiti dalam memperkasakan kemahiran hidup.

“Semua tugasan yang diberi akan dirasionalkan dan dikaitkan dengan perjuangan memartabatkan bangsa dan ketuanan Melayu. Peserta akan didedahkan dengan realiti kehidupan kota dan pelbagai kemungkinan yang boleh menimpa, sekiranya tanah air tergadai.

“Kejayaan program ini dapat dilihat dari segi kesinambungan perjuangan di dalam dan luar persatuan. Keinsafan terhadap segala keistimewaan dan keselesaan yang dikecapi selama ini, akan turut dilihat sepanjang program berlangsung,” katanya.

Jelasnya, kejayaan sebenar program adalah dalam perubahan sikap dan mentaliti peserta itu sendiri yang diharap tidak lagi hanya mementingkan diri sendiri, sebaliknya mula berfikir dan bertindak untuk kebaikan orang lain.

“Selepas program ini, peserta akan lebih menghargai segala hak milik mereka dan semakin yakin serta pasti akan matlamat serta arah tuju hidup mereka. Perubahan sikap inilah yang menjadi agenda utama program di mana kami berharap mereka menjadi ‘seorang, orang’ dan bukannya ‘orang-orang’,” tegasnya.

Muhamad Akmal berkata, sebagai fasilitator dia berharap peserta yang telah menghabiskan kursus ini akan memasuki alam pekerjaan dengan penuh yakin, bersedia dengan ilmu di dada.

“Mereka juga diharap dapat membawa ideologi dan agenda Melayu, yang mana kita harus bersatu dalam apa jua suasana,” katanya penuh semangat.


p/s:Untuk pengetahuan korang, aku terlibat dlm aktiviti nie....



Azwan Shakrani's Facebook profile

0 comments: